Wednesday 19 October 2011

PEMANSUHAN PPSMI ADA KEBAIKAN

KOTA KINABALU: Pergerakan Puteri UMNO Sabah yakin keputusan Kementerian Pelajaran memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat setelah meneliti pelbagai sudut secara akademik dan mendalam.

Ketuanya, Musliati Moslimin, berkata adalah wajar bagi kerajaan mengembalikan sistem pembelajaran kepada asal sekiranya didapati pelaksanaan PPSMI gagal mencapai matlamat seperti yang diharapkan.


"Meskipun pada dasarnya kita agak terkilan kerana dasar pendidikan kita sering berubah dan seboleh-bolehnya mahu melihat PPSMI mampu melonjakkan kecemerlangan generasi pelajar kita dalam penguasaan Sains dan Matematik.

"Namun kita yakin, Kementerian Pelajaran telah meneliti secara akademik dan mendalam mengenai PPSMI sebelum keputusan mengenai pemansuhan diumumkan semalam," katanya.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran mengenai pemansuhan PPSMI secara berperingkat berkuat kuasa tahun 2012 di dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Musliati berkata, adalah wajar semua pihak melihat keputusan kerajaan itu secara positif demi kebaikan dan faedah kepada semua pihak khususnya masa depan golongan pelajar.

Katanya, pihak-pihak tertentu juga diharap tidak lagi mempolitikkan isu berkenaan sehingga menambahkan lagi kekeliruan di kalangan rakyat.

"Kita melihat betapa tertibnya kerajaan dalam mewujud dan memansuhkan sesuatu dasar besar dan bukannya membabi-buta seperti tindakan pihak tertentu termasuk mengadakan demonstrasi jalanan sehingga mengundang perlakuan ganas dan melanggar undang-undang," katanya.

Tambah beliau, Puteri Sabah juga pada masa yang sama meminta Kementerian Pelajaran terus berusaha memperkasakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris kerana tidak boleh dinafikan kepentingan dalam kehidupan era globalisasi hari ini.

Katanya, pelajar Melayu dan Bumiputera khususnya tidak mungkin mampu berdepan dengan cabaran di peringkat lebih tinggi termasuk ke arena antarabangsa jika gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Malah katanya, mereka dikhuatiri akan terus ketinggalan untuk bersaing dengan kaum lain untuk merebut peluang pekerjaan jika lemah dalam bahasa Inggeris.

"Begitu juga kita meminta Kementerian Pelajaran mempertingkatkan usaha melatih guru-guru bahasa Inggeris bagi memastikan pelajar terutama di pedalaman mempunyai minat dan pencapaian yang tinggi dalam mata pelajaran bahasa Inggeris," katanya.

Last Updated on Thursday, 09 July 2009 22:34

No comments:

Post a Comment