Wednesday 19 October 2011

Negara perlu 23,000 guru berijazah setahun

NEGARA memerlukan 23,000 guru berijazah setahun untuk mengajar di sekolah rendah dan menengah, sehingga 2010, kata Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 16,000 untuk sekolah rendah, manakala 7,000 lagi sekolah menengah.Bagaimanapun, beliau berkata, UPSI sebagai universiti pendidikan berperanan menghasilkan guru tidak dapat menampung keperluan itu kerana hanya mengeluarkan 6.5 peratus atau 1,500 graduan setahun.

“Berbanding sumber amat terhad, pencapaian UPSI mengeluarkan guru berijazah adalah membanggakan. “Selama lapan tahun beroperasi, universiti ini melahirkan 9,000 guru berijazah dan telah berkhidmat di seluruh negara,” katanya pada Istiadat Konvokesyen ke-7 universiti itu di Dewan SITC, Tanjung Malim, semalam. Hadir sama, Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Datuk Dr Yahaya Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, Tan Sri Murad Mohd Noor.

Bagi memenuhi keperluan guru berijazah itu, beliau berkata, Kementerian Pelajaran terpaksa menampung melalui pelbagai skim latihan guru ijazah ad-hoc seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, kursus secara pendidikan jarak jauh dan on-line di Universiti Terbuka Malaysia. Dr Muhammad Rais turut meminta graduan UPSI mempamerkan keunggulan sesuai dengan persekitaran dunia pekerjaan yang menumpukan kualiti dan kemahiran sampingan.

“Jika mahu dipandang tinggi, pentadbir dan tenaga akademik UPSI juga hendaklah terus berusaha memperkasakan graduan dengan ilmu pendidikan terkini dan kemahiran nilai tambah untuk menjadi pendidik unggul.“Dalam konteks ini, penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris menjadi salah satu indikator graduan cekap berbahasa, berkomunikasi dan berhujah, kekuatan berfikir dan menyelesaikan masalah, kecerdasan emosi dan sifat kepimpinan,” katanya.Kini, di samping melatih 13,654 bakal guru menerusi 20 program pengajian, UPSI akan menawarkan tujuh program baru dalam bidang psikologi sukan, sains kejurulatihan, seni komunikasi visual, keusahawanan, kemahiran hidup, multimedia dan teknologi reka bentuk berkomputer, Disember ini.

Dr Muhammad Rais berkata, universiti itu bercadang memperkenalkan 12 lagi program baru peringkat Sarjana Muda dengan Pendidikan berdasarkan pengkhususan, pada masa depan.“UPSI juga berhasrat memperluaskan ilmu baru dengan meneroka bidang biodiversiti seperti bioteknologi dan nano teknologi.

“Perubahan pantas dalam masyarakat, teknologi, penjanaan ilmu pengetahuan serta pengajaran dan pembelajaran tidak lagi mewajarkan universiti ini kekal dalam kepompong lama memberi tumpuan melatih guru sekolah saja,” katanya.

No comments:

Post a Comment